09 November 2010

Berdoa Untuk Anak Dengan Cara yang Disukai Oleh Allah

Allah swt Maha Berkuasa.

Allah swt boleh lakukan apa sahaja tanpa sebarang pertolongan daripada makhluk. Allah swt boleh hidupkan makhluk hanya dengan kalimah “kun” (jadilah!) sahaja. Allah swt juga berkuasa mematikan makhluk, dengan sakit atau tanpa sebarang sakit. Allah swt berkuasa memberikan banjir ke satu tempat, meskipun di kawasan yang tandus seperti dalam kisah Nabi Nuh a.s. Dan Allah swt berkuasa memberikan banjir ke satu tempat dengan hujan, atau pun tanpa hujan. Begitu juga, Allah swt boleh keringkan satu tempat yang banjir, dengan matahari, atau pun tanpa matahari. Betapa hebatnya kuasa Allah swt. Allahuakbar! :)

Allah swt Maha Pencipta.

Allah swt telah menghidupkan manusia daripada setitis air mani. Allah swt telah menjaga anak yang berada dalam kandungan sehingga cukup segala sifatnya, kemudian dijaga dan dipelihara sehingga selamat dilahirkan oleh ibunya. Apabila seorang bayi telah lahir ke dunia, sedikit demi sedikit Allah swt telah berikan penglihatan dan pendengaran kepadanya. Allah swt telah pelihara rezeki seorang bayi, walaupun dia tidak dapat bergerak ke mana-mana. Dan Allah swt telah hantar makanan dan minuman terus tersuap ke dalam mulutnya. Subhanallah! :)

Mengapa Allah swt menciptakan tanda-tanda kebesaran ini?

Kerana Allah swt menghendaki kita untuk memikirkan dan menyebut-nyebut tentangnya. Semakin banyak kita berFIKIR dan berCAKAP tentangnya, maka semakin meningkatlah iman dan keyakinan kita kepada kekuasaan Allah swt. Semakin kita yakin pada kekuasaan Allah swt, maka bertambahlah keyakinan kita terhadap pertolongan daripada Allah swt.

Sebagaimana yang telah disebutkan dalam Surah An Nasr (Pertolongan), Surah AnNasr


Maksudnya:

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

(1) Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan

(2) dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong

(3) maka bertasbihlah dengan dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.

Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Betapa gembiranya Allah swt tatkala hamba-hambaNya memuji-muji namaNya dan memohon keampunan daripadaNya. Sehingga di ayat terakhir surah ini, Allah swt telah perintahkan kita untuk bertasbih dan memohon ampun daripadaNya. Sahabat-sahabat r.ahum telah melakukannya, dan Allah swt sangat menyukainya sehingga Dia telah mengurniakan kemenangan yang besar kepada umat Islam di zaman tersebut.

Sebagaimana Allah swt telah menurunkan pertolonganNya di zaman para sahabat r.ahum, Allah swt juga berkuasa menurunkan pertolongan seperti itu atau lebih hebat lagi di zaman ini. Allah swt akan menurunkan pertolongan kepada umat Islam, apabila mereka sibuk memuji-muji kebesaran Allah swt dan mereka turut memohon keampunan daripada Allah swt. Allah swt sangat sukakan dua perkara ini.

Maka insyaAllah, sama-samalah kita berusaha untuk berdoa buat anak-anak kita dengan cara yang disukai Allah. Sebelum menyatakan hajat kepada Allah swt;

1. Pujilah dan sebutlah kebesaran Allah swt sebanyak-banyaknya, sehingga datang kesan di dalam hati kita.
Samada kita berada di dalam mood berdoa atau pun tidak, sebutkan, cakapkan, ceritakan & dakwahkan kebesaran Allah swt sebanyak-banyaknya. Nescaya, InsyaAllah, segala doa kita akan menjadi makbul dan pertolongan daripada Allah swt akan datang mencurah-curah kepada kita.

Tip:

Bagi kita (terutama diri saya), ibubapa yang baru-baru nak belajar menyebut kebesaran Allah swt ini, adakalanya kita tiada idea untuk menyebutkan kebesaran Allah swt yang mana satu. Jika situasi ini berlaku, mulakan dengan kebesaran Allah swt yang kita mahukan untuk anak kita. Sebagai contoh;

Jika kita mahu Allah murahkan rezeki anak kita, maka pujilah, sebutlah, dan ceritakan apa sahaja tanda kebesaran Allah yang berkait dengan Allah swt Maha Pemberi Rezeki, sebanyak-banyaknya.

Jika kita mahu Allah swt berikan kepandaian kepada anak kita, maka pujilah, sebutlah, dan ceritakan apa sahaja tanda kebesaran Allah yang berkait dengan Allah swt Maha Bijaksana.

Jika kita mahu Allah swt berikan anak kita sifat pengasih dan penyayang, maka pujilah, sebutlah, dan ceritakan apa sahaja tanda kebesaran Allah yang berkait dengan Allah swt Maha Pengasih dan Penyayang, sebanyak-banyaknya.

Selepas kita dapat menyebut satu sahaja kebesaran Allah swt, dan kita berazam untuk menyebutnya lagi dan lagi, maka Allah swt akan berikan kita pertolongan dan ilham untuk kita menyebutkan kebesaran-kebesaran Allah yang lain. InsyaAllah :)

2. Beristighfarlah. Mohonlah keampunan daripada Allah swt sebanyak-banyaknya, kerana Allah swt suka untuk menzahirkan sifatNya yang Maha Pengampun.
Allah swt suka orang yang bertaubat. Allah swt mahu kita segera bertaubat selepas melakukan sesuatu dosa. Allah swt sangat suka untuk mengampunkan hamba-hambaNya.

Sekiranya kita memerlukan pertolongan daripada Allah swt (dan hakikatnya kita sentiasa memerlukan pertolongan daripadaNya), mohonlah dengan cara yang disukai oleh Allah swt. InsyaAllah, pertolongan Allah swt akan turun mencurah-curah kepada kita dan anak-anak kita. Dan kalau tidak keberatan, sertakanlah doa buat anak-anak saudara-saudara kita dan umat Nabi Muhammad saw di seluruh alam.

By Ummu Solihin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan