27 April 2010

AWAS!! Jangan Sentuh Anak Saya!

  • Seorang gadis dalam perjalanan pulang dari sekolah melalui jalan yang sibuk di tengahari diheret dan diperkosa di bawah jambatan tanpa disedari.
  • Seorang pemandu bas meletakkan sekeping cermin di bawah lantai basnya semata-mata ingin mengintip seluar dalam kanak-kanak sekolah yang memakai skirt.
  • Seorang pelajar lelaki sekolah menengah sengaja meriba seorang kanak-kanak lelaki yang berumur 9 tahun sambil meramas anggota sulit kanak-kanak malang tersebut.

Apa yang disebut di atas bukannya rekaan, tetapi adalah kisah benar yang tidak disebut dengan jelas untuk menutup aib mangsa-mangsa tersebut.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin menipis nilai kemanusiaannya ini, kita tidak boleh percayakan sesiapa dan mengharapkan orang lain untuk menjaga anak kita. Kita sendiri yang harus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya. Dulu, kalau kita pergi sekolah dengan berjalan kaki sejauh lima kilometer melalui kebun getah dalam kegelapan, jarang sangat kita dengar penculikan dan pemerkosaan. Sekarang ini, anak yang bermain 200 meter dari rumah di taman permainan di siang hari pun boleh diculik tanpa dapat dikesan. Semakin maju dunia, semakin maju juga teknik dan helah yang digunakan oleh penjenayah terhadap kanak-kanak ini. Jadi, sebagai ibu bapa kita juga semakin perlu berhati-hati menjaga permata kesayangan kita ini.

Bila anak sudah boleh bercakap dan mula memahami, kita sudah boleh mendidik mereka mengenai sikap malu. Malu untuk menayangkan badan dan anggota sulit mereka kepada orang luar selain daripada diri kita sendiri. Beritahu mereka tiada sesiapa pun yang boleh menyentuh mereka lebih-lebih lagi bahagian sulit mereka. Hanya kita, ibu mereka saja yang berhak melakukannya. Ajar mereka kenali anggota tubuh mereka secepat mungkin dan tunjukkan tempat yang sangat perlu dijaga iaitu bahagian sulit.

Antara langkah-langkah yang harus kita ambil untuk melindungi anak kita ialah :

  1. Ajar anak kewajipan untuk menutup aurat.
  2. Ajar anak untuk bercerita apa saja dengan kita tanpa selindung dan malu.
  3. Wajib kita mendampingi anak dengan penuh kasih sayang.
  4. Selalu membuat anak selesa dengan kita dan percaya bahawa hanya kitalah satu-satunya yang mereka boleh percayai.
  5. Tiada sesiapa pun boleh menyentuh mereka hatta guru mereka sendiri tanpa sebarang alasan.
  6. Wajib menemani anak semasa mereka diperiksa oleh doktor.
  7. Sentiasa bertanyakan apa aktiviti mereka di sekolah dan aktiviti harian mereka sepanjang kita tiada bersama mereka.
  8. Kita sendiri harus menjaga aurat di dalam keluarga contohnya aurat kita dengan mereka, sesama adik beradik dan asingkan tempat tidur.
  9. Pantau kemesraan anak tidak kira lelaki atau perempuan dengan sesiapa saja walaupun saudara terdekat.
  10. Ajar anak jangan mudah percaya kepada orang dan sentiasa berhati-hati dengan sesiapa saja.
  11. sekat anak melihat perlakuan lucah dan tidak senonoh samada secara 'live’, di televisyen, komputer, telefon bimbit dan sebagainya.
  12. Wajib temani anak bermain di mana saja
  13. Pastikan anak sentiasa di depan mata ketika membeli belah, jangan lalai walau sesaat pun.
  14. Jika anak mahu berbincang pelajaran dengan kawan-kawanya, ajak mereka ke rumah anda.
  15. Jangan biarkan perbincangan dilakukan di dalam bilik atau tempat tersorok di rumah walaupun teman itu seorang perempuan.

Saya turunkan petikan dari majalah solusi mengenai perlakuan orang dewasa yang boleh dikategorikan sebagai pencabulan terhadap kanak-kanak antaranya:

  1. memasukkan objek atau bahagian tubuh ke dalam faraj, mulut atau dubur.
  2. menyentuh bahagian sulit
  3. menunjukkan bahan-bahan lucah kepada kanak-kanak
  4. mengambil gambar kanak-kanak dalam aksi seksual
  5. mengalakkan kanak-kanak menonton atau medengar aksi seksual
  6. membuat panggilan telefon lucah
  7. mencium tubuh kanak-kanak termasuk kemaluannya
  8. mengintai kanak-kanak sedang mandi
  9. mencium dengan ghairah
  10. mempamerkan aksi lucah

Sekali lagi saya tegaskan,jangan percaya kepada sesiapa pun. Jaga dan lindungilah anak kita. Didik mereka mengenai aurat, malu dan akhlak Islam yang sebenarnya secepat mungkin.Tidak ada alasan terlalu awal. Di luar sana terlalu banyak mata-mata jahat yang sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan di atas kealpaan kita. Anak kita sentiasa dalam bahaya tidak kira lelaki atau perempuan. Biarlah orang kata kita terlalu ‘protective’ sampai anak tidak boleh bebas. Kalau terjadi apa-apa yang buruk, adakah mereka yang berkata itu boleh menggantikan semula anak kita?

2 ulasan:

  1. zmn skrang nie tak mcm zaman kita dulu...sekarang nie banyak penyangak n penjenayah...so careful

    BalasPadam
  2. anak adalah anugerah Allah, so mcm2 kita kn wat utk pastikan yg terbaik for them...

    p/s: ader tag 4 u, check yer...

    BalasPadam